Wednesday, 2 May 2012

DASAR LANGIT TERBUKA DAN KESANNYA TERHADAP RAKYAT MALAYSIA.

              Kewujudan pelbagai saluran dan bentuk komunikasi seperti satelit, internet, dan media elektronik telah menjadikan teknologi maklumat semakin penting dan menjadi sebahagian daripada elemen dalam kehidupan manusia hari ini. Sejajar dengan perubahan dan perkembangan itu, Malaysia telah mengorak langkah ke hadapan dengan mengimplikasikan dasar langit terbuka melalui pembinaan Koridor Raya Multimedia (MSC), perkampungan hiburan e-village, dan perlancaran beberapa buah stesen televisyen yang baru.Antaranya, stesen NTV7, TV8, stesen TV Al-Hijrah dan televisyen satelit ASTRO. Kemunculan ASTRO telah membolehkan rakyat negara ini menikmati pelbagai rancangan luar Negara yang dipancarkan secara terus menerus selama 24 jam.
              Perkara yang menjadi persoalan di sini ialah kewujudan stesen televisyen yang terlalu banyak telah menimbulkan kebimbangan kepada banyak pihak.Adakah dengan saluran televisyenyang begitu banyak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia atau turut menyumbang kepada wujudnya gejala sosial? Wajarkah dasar langit terbuka itu dinilai atau dikaji semula berikutan era ini seolah-olah tidak lagi mempunyai garis sempadannya? Justeru, tindakan diambil dengan menyekat penyiaran rancangan asing yang disiarkan oleh ASTRO bagi membendung kemasukan unsur-unsur negatif yang dipaparkan melalui rancangan-rancangan tersebut. Hal yang membimbangkan ialah fenomena ini akan merosakkan pemikiran dan jiwa penonton. Jika fenomena ini berterusan akan melenyapkan jati diri, khususnya di kalangan golongan remaja.
             Hal ini jelas apabila kebanyakan rancangan asing yang disiarkan memaparkan budaya yang bertentangan dengan kehidupan sosial rakyat negara ini. Contohnya, penayangan filem-filem Bollywood yang semakin mendapat tempat di hati penonton. Rancangan-rancangan yang disiarkan ini mengandungi unsur-unsur ganas, seksi, dan hedonism sehingga merosakkan pemikiran serta akhlak anak-anak yang masih muda remaja. Perkara ini sememangnya tidak dapat dinafikan kerana melalui dasar ini, sesiapa pun mampu untuk mendapatkan maklumat termasuk juga informasi yang berkaitan dengan bahan-bahan lucah. Maka tidak hairanlah stesen-stesen televisyen berlumba-lumba menayangkan rancangan-rancangan yang berbentuk 3’S’ iaitu seks, seram, dan sadisme bagi tujuan meraih keuntungan tanpa memikirkan kesannya kepada khalayak penonton.
             Lebih memburukkan keadaan apabila segala nilai Barat yang berupa hiburan, pakaian, dan makanan telah diterima sebagai kebudayaan dunia serta menjadi kayu ukur kepada pemodenan dan kemajuan. Yang terkini adalah budaya Kpop dan Jpop menjadi tren terbaru anak muda bergaya tanpa menghiraukan budaya siapa yang diikut. Sebagai akibatnya, kebudayaan kebangsaan yang berteraskan akal, budi, dan jati diri masyarakat tempatan semakin terpinggir dan hilang kepentingannya. Namun, dasar ini sememangnya tidak dapat dikawal.
             Pada masa yang sama kita tidak dapat menafikan bahawa bahan-bahan maklumat dan hiburan yang diimport kebanyakkannya bertentangan dengan budaya dan nilai ketimuran. Maka kita tidak ada pilihan lain kecuali melengkapkan diri dengan nilai moral yang tinggi agar kita dapat membuat pilihan antara yang baik dengan yang buruk. Peranan ibu bapa amat penting bagi menghadapi kesan-kesan negatif tersebut.
              Justeru, untuk menghadapi kesan globalisasi dan dasar langit terbuka ini, maka pembangunan insaniah perlu diutamakan agar pengaruh yang tidak sihat dapat dikawal. Dengan ketahanan diri yang kental, maka seseorang itu akan dapat memanfaatkan unsur yang baik dan menyaring unsur yang tidak baik. Yang penting ialah kita mempunyai hala tuju untuk membuat penentuan terhadap rancangan yang ditonton oleh masyarakat, khususnya golongan remaja. Kita harus ingat bahawa golangan inilah yang bakal menjadi pemimpin untuk generasi kita yang akan datang.

10 comments:

  1. saya bersetuju dengan pendapat kj haliza bahawa apabila kebanyakan tv meneyangkan rancangan asing yang disiarkan memaparkan budaya yang bertentangan dengan kehidupan sosial rakyat negara ini. Contohnya, penayangan filem-filem Bollywood yang semakin mendapat tempat di hati penonton. Rancangan-rancangan yang disiarkan ini mengandungi unsur-unsur ganas, seksi, dan hedonism sehingga merosakkan pemikiran serta akhlak anak-anak yang masih muda remaja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. This comment has been removed by the author.

      Delete
    2. Ibu bapa perlulah seimbang dalam memantau penggunaan media oleh anak-anak. Apa yang penting ialah kefahaman dan keyakinan anak-anak tentang bahaya bahan-bahan media yang merosakkan. Sebaik-baiknya biarlah anak-anak itu diserap dengan iman yang mendalam sehingga mampu mempunyai benteng diri bagi mengelakkan pengaruh media perosak ini. Selain itu, ibu bapa juga perlu menyediakan bahan-bahan alternatif bagi memenuhi tuntutan jiwa kanak-kanak dan remaja, agar jiwa muda dan segar mereka tidak terkulai layu akibat dasar langit terbuka yang melampau dan tidak munasabah.

      Delete
  2. terima kasih KJ Saniros atas komen anda.

    ReplyDelete
  3. Saya setuju bahawa dasar langit terbuka banyak mendatangkan pengaruh buruk terhadap anak-anak muda. Contohnya filem- filem dari barat yang tidak ditapis akan mempengaruhi pemikiran anak-anak muda. Yang terbaru pengaruh dari Korea dan Jepun, ramai anak-anak muda terpengaruh dengan budaya mereka yang tidak sesuai dengan budaya di Malaysia seperti cara berpakaian, bertatoo dan bertindik di telinga terutamanya lelaki. Anak-anak muda yang senang terpengaruh akan mengikut cara mereka.Sebaiknya setiap program yang hendak dibawa ke sini ditapis telebih dahulu.

    ReplyDelete
  4. Kita sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab perlu mengambil peranan yang amat penting bagi memastikan anak-anak tidak terjerumus ke arah perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Contohnya kita sentiasa bersama anak-anak dalam melakukan aktiviti harian dengan memberi tunjuk ajar yang sewajarnya agar anak-anak tidak merasa terpinggir walaupun kadangkala ibubapa sentiasa sibuk dengan kerjaya.Ingat anak yang berjaya dalam kehidupan amat berharga suatu hari nanti.

    ReplyDelete
  5. Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan memberi kesan yang negatif kepada remaja. Remaja kini semakin hilang ketahanan jiwa. Mereka mudah terpengaruh dan terjebak dengan segala macam kerosakan, maksiat dan budaya kuning. Mereka mudah hanyut mengikut arus. Mereka tidak ada pegangan dan pendirian. Mereka tidak mampu menangkis pengaruh yang jahat dan merosakkan. Mereka sukar membezakan yang batil dengan yang hak. Sebenarnya, banyak lagi punca yang menyebabkan remaja bertindak liar sekali gus mengamalkan gaya hidup yang negatif. Tanpa menyalahkan sesiapa, kita perlu memikirkan secara mendalam untuk mencari formula terbaik bagi mengatasi masalah ini. Oleh itu, semua anggota masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing untuk menangani kemelut sosial yang kian berleluasa dalam kalangan remaja kita kerana masyarakat merupakan kumpulan utama untuk menggerakkan kekuatan dalam menghadapi segala kepincangan yang dihadapi oleh anak-anak remaja..

    ReplyDelete
  6. Dasar Langit terbuka memberi kesan positif dan negatif terutama kepada remaja. Apa yang penting adalah bimbangan dan pemantauan ibu bapa dalam dunia tanpa sempadan ini. Anak-anak harus mempunyai didikan agama supaya anak-anak tahu hukum agama dan mempunyai pegangan agama yang kuat.

    ReplyDelete
  7. assalamualaikum :) kepada pemilik blog, saya minta izin untuk mengambil beberapa isi dalam penulisan ini sebagai bahan pidato saya ya, mohon izin dengan penuh hormat daripada saya, Suri Liyana.
    Terima kasih :) ^_^

    ReplyDelete